Pengalaman Baharu Di Taman Safari Bukit Gambang

Pengalaman Baharu Di Taman Safari Bukit Gambang

KUANTAN 11 Nov : Taman Safari Bukit Gambang (TSBG) merupakan tarikan pelancongan terbaharu di negeri ini yang kini menjadi tumpuan ramai pengunjung dari seluruh negara terutama pada cuti am dan hujung minggu.

Taman safari berkeluasan 55 hektar itu menempatkan 454 spesies hidupan liar yang kebanyakannya dari luar negara sekali gus merupakan taman safari terbesar di negara ini mengikut spesifikasi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)

Eksekutif Kanan Pemasaran dan Komunikasi, Bukit Gambang Resort City (BGRC), Zoe Soo (gambar) berkata, TSBG sesuai untuk semua lapisan masyarakat kerana para pengunjung berpeluang melihat dan menyentuh dengan lebih dekat hidupan di safari itu.

“Sejak dibuka kepada umum Mei lalu, empat zon telah beroperasi iaitu Wild Savannah, Simba Hill, Night Jungle dan Foreign Village yang kebanyakannya menempatkan beberapa spesies hidupan liar yang hampir pupus dari luar negara seperti dari benua Afrika dan negara Australia.

“Menariknya, setiap spesies diambil secara berpasangan bagi memudahkan mereka membiak dan pengunjung diberi peluang untuk menyentuh dan membelai anak-anak haiwan yang baru dilahirkan seperti singa putih dan kanggaru putih,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Zoe, beberapa zon yang masih dalam pembinaan seperti Forest Land, Land of Predators, Desert Land dan Bear Mountain turut dibuka sebahagiannya walaupun bakal siap sepenuhnya pada Disember ini.

“Para pengunjung dapat merasakan mereka seolah-olah mengembara di pinggir hutan yang berbukit-bukit dengan pelbagai jenis hidupan seperti gajah, kuda belang, zirafah, badak sumbu, harimau, singa, burung unta, kerbau merah jambu, rusa dan dubuk bebas berkeliaran.

“Namun pengunjung tidak perlu bimbang soal keselamatan kerana pengembaraan tersebut menggunakan sebuah bas perantara yang mempunyai tingkap luas,” jelasnya.

Menariknya, kata beliau, pertunjukan haiwan dengan pelbagai aksi turut diadakan dua kali sehari iaitu pada pukul 3 petang dan 8 malam di Village Arena yang berkapasiti 2,000 pengunjung dalam satu-satu masa.

Tiket pula dijual pada harga RM48 bagi dewasa dan RM28 bagi kanak-kanak.

Sementara itu, seorang pengunjung, Roslan Mohd. Noor, 45, dari Kuala Besut, Terengganu berkata, TSBG memberi peluang kepada mereka melihat pelbagai jenis hidupan yang kian pupus dan tidak terdapat di Malaysia.

“Selama ini kita hanya melihat haiwan seperti dubuk, singa putih dan kanggaru melalui kaca televisyen tetapi di sini kita dapat melihatnya dengan jelas dan bergambar bersamanya.

“Selain menghiburkan, taman safari ini turut memberi pelbagai maklumat kepada kanak-kanak mengenai hidupan liar yang wujud di dunia ini,” jelasnya.

Bagi Nur Asiyah Faizuman, 20, dari Cheras, Kuala Lumpur, dia begitu gembira apabila dapat melihat dan berinteraksi bersama pelbagai hidupan liar dengan lebih dekat.

“Saya sangat gembira apabila dapat memberi makanan kepada zirafah dan burung-burung. Paling menarik apabila saya sendiri berada dalam sangkar burung dan bebas menangkap pelbagai jenis burung yang begitu cantik,” kata penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi itu.

Artikel Penuh: UTUSAN ONLINE!
© Utusan Melayu (M) Bhd

Add Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *